Monday, July 6, 2009

Penyakit Bawaan Vektor di Malaysia

Rancangan Kawalan Penyakit Bawaan Vektor (RKPBV) bermula sebagai tiga Rancangan Pembasmian Malaria (RPM) yang berasingan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak seperti berikut:-


SEMENANJUNG MALAYSIA


Rancangan Pembasmian Malaria (RPM) di Semenanjung Malaysia dilancarkan pada tahun 1967. Satu Projek Perintis Malaria (1960 - 1964) menunjukkan bahawa ada cara yang boleh dan praktikal dijalankan untuk mengawal situasi malaria di Semenanjung Malaysia. Satu kajian malaria seluruh negara pada tahun 1965 - 1966 menunjukkan lebih kurang 300,000 kes malaria berlaku setiap tahun di Semenanjung Malaysia.
Semasa pelancaran pada tahun 1967, objektif asalnya ialah untuk membasmi malaria sepenuhnya di Semenanjung Malaysia menjelang tahun 1982. Objektif ini tidak dapat dicapai kerana beberapa masalah pentadbiran, teknikal dan operasi yang dihadapi. Rancangan Pembasmi Malaria kemudiannya ditukar kepada Rancangan Kawalan Malaria pada tahun 1980.


SARAWAK


Kajian malaria yang pertama di Sarawak dijalankan pada tahun 1952 oleh De Zulueta. Dengan bantuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kajian ini diikuti dengan Projek Perintis Kawalan Malaria yang dijalankan pada tahun 1953 - 1954 di Lembah Baram, Bahagian Keempat Negeri Sarawak yang meliputi kawasan lebih kurang 5,100 kilometer persegi dan melibatkan lebih kurang 6,400 penduduk. Pada tahun tahun 1961 telah diputuskan untuk melaksanakan satu Program Pembasmian Malaria berdasarkan langkah kawalan yang sama digunakan dalam Projek Perintis Kawalan Malaria.
Memandangkan beberapa masalah yang dihadapi dalam Program Pembasmian Malaria seperti kemasukan pembawa malaria dari negara jiran, kumpulan nomad bagi penduduk sesetengah tempat, kesukaran perhubungan dan keadaan muka bumi, tidak mungkin jangkitan malaria dapat diputuskan sepenuhnya. Program Pembasmian Malaria kemudiannya ditukar kepada Program Kawalan Malaria pada tahun 1972.


SABAH


Projek Malaria yang dijalankan pada tahun 1956 - 1960 menunjukkan bahawa ada cara yang boleh dan praktikal dijalankan untuk mengawal malaria di Sabah. Rancangan Pembasmi Malaria (MEP) telah dilancarkan pada tahun 1961 dan berterusan selama 10 tahun. Program Pembasmian Malaria kemudiannya ditukar kepada Program Kawalan Malaria pada tahun 1971 memandangkan masalah pentadbiran, teknikal dan operasi yang dihadapi.
Pada tahun 1980, Kementerian Kesihatan Malaysia membuat keputusan dasar yang penting menukarkan Program Pembasmian Malaria (RPM) yang sedia ada kepada Rancangan Kawalan Penyakit Bawaan Vektor (RKPBV). Asas strategi dan aktiviti RPM juga digunakan untuk mengawal lain-lain penyakit yang dibawa oleh vektor nyamuk.
Penyakit-penyakit berkenaan adalah:-
Malaria dengan nyamuk Anopheline sebagai vektor
Filariasis dengan nyamuk Anopheline and Mansonia sebagai vektor
Demam Denggi/Demam Denggi Berdarah dengan nyamuk Aedes sebagai vektor
Japanese B.Encephalitis dengan nyamuk Culicine sebagai vektor
Plague dengan kutu (fleas) (Xenopsylla cheopis) sebagai vektor
Yellow Fever dengan nyamuk Aedes sebagai vektor
Murine Typhus dengan kutu (fleas) sebagai vektor and Scrub Typhus dengan tuma (mites) sebagai vektor.
Perkembangan Rancangan Kawalan Penyakit Bawaan Vektor (RKPBV) dilaksanakan dalam tiga fasa:-
Fasa I - Pembentukan Rancangan Anti Malaria (1981 - 1982)
Perkhidmatan kawalan malaria di dalam dan di luar kawasan Kuasa Tempatan diambil alih dan diintegrasikan dengan Rancangan Pembasmi Malaria untuk membentuk Rancangan Anti Malaria.
Fasa II - Pembentukan Rancangnan Kawalan Penyakit Bawaan Vektor (RKPBV) 1983-1984
Dalam tempoh ini, skop dan aktiviti program diperluaskan meliputi lain-lain penyakit bawaan nyamuk di Malaysia, seperti Filariasis, Demam Denggi/ Demam Denggi Berdarah dan Japanese B.Encephalitis.
Fasa III - Perluasan Skop RKPBV (1985 dan seterusnya)
RKPBV mengambil alih kawalan lain-lain penyakit bawan vektor seperti Scrub Typhus yang dibawa oleh tuma (mites) dan Murine Typhus oleh kutu (fleas). Sungguhpun tidak wujud kes Plague di negara ini sejak begitu lama, pemeriksaan akan diteruskan ke atas kehadiran kutu (fleas) Xenopsylla cheopis di mana habitat semula jadinya ialah roden. Penyakit Yellow tidak wujud buat masa ini sungguhpun kedapatan nyamuk Aedes di negara ini. Selaras dengan Artikel 20 Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR), semua lapangan terbang dikehendaki bebas dari nyamuk Aedes.